Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan bahawa Szymon Maciniak akan kekal mengadili aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini biarpun pengadil itu disiasat atas dakwaan terlibat dengan gerakan 'far-right'.

Marciniak berada dalam siasatan selepas didapati mengadakan ucapan dalam satu acara yang dianjurkan ketua 'far-right' Poland, Slawomir Mentzen, sekali gus menyaksikan peranannya sebagai pengadil utama dalam aksi final UCL di antara Manchester City dan Inter Milan di Istanbul hujung minggu depan menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, UEFA berpuashati dengan keterangan yang diberikan Marciniak dan percaya pegawai itu "telah terkeliru dan langsung tidak menyedari kaitan acara itu dengan gerakan berkenaan" dan akan mengekalkan pegawai berusia 42 tahun itu sebagai pengadil utama aksi final musim ini.

UEFA berkata: "Susulan kenyataan yang diberikan Encik Marciniak, UEFA menerima permohonan maaf dan penjelasannya.

"UEFA turut berhubung dengan NEVERAGAIN, sebuah NGO yang merupakan ahli gabungan rangkaian FARE, yang menimbulkan kebimbangan awal mengenai penglibatan Encik Marciniak dengan acara tersebut.

"Mereka meminta agar Encik Marciniak kekal dengan peranannya sebagai pengadil aksi final UCL akan datang dengan menegaskan bahawa penyingkirannya hanya akan menjejaskan promosi anti-diskriminasi.

"Berdasarkan informasi yang disediakan, UEFA mengesahkan bahawa Encik Marciniak akan memenuhi tanggungjawab sebagai pengadil dalam final UCL 2023."

Sebagai rekod, Marciniak, 42, menjadi pengadil Poland pertama mengadili final Piala Dunia di Qatar pada Disember lalu, di mana Argentina menewaskan Perancis dalam penentuan penalti.