Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, tidak menolak pasukannya akan menggunakan pendekatan bertahan menjelang final Piala Malaysia menentang Johor darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Ia merupakan peluang terbaik untuk skuad Peteh itu menamatkan kemarau gelaran sejak kali terakhir memenangi Piala FA pada 2011.

Steinbruckner sedar JDT merupakan pasukan yang lengkap di setiap posisi dan tidak menolak untuk menggunakan pendekatan 'parking bas' seperti yang dilakukan kebanyakan pasukan di Eropah ketika berdepan lawan yang kuat seperti Manchester City.

"Adakalanya, ketika sebuah pasukan menentang Manchester City, mereka juga perlu 'parking bas'," kata Steinbruckner dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Astro Arena.

"Tetapi pasukan lawan itu juga mungkin pasukan yang amat-amat bagus.

"Ia bergantung kepada situasinya. Jika pasukan lawan jauh lebih baik dan banyak menguasai permainan, anda perlu bermain seperti itu.

"Tetapi jika anda bermain seperti itu sahaja, ia mungkin tidak bagus untuk sasaran anda," katanya.