Giannis Antetokounmpo mempamerkan aksi di luar kebiasaan untuk membantu Milwaukee Bucks menjulang trofi kejuaraan NBA pertama sejak 1971 selepas menewaskan Phoenix Suns 105-98 sebentar tadi.

Penyerang Greece itu merekodkan 50 mata, 14 rebound dan lima hadangan dalam perlawanan keenam siri final itu, termasuk 20 mata dalam suku ketiga selepas Suns mula mengejar dalam suku sebelumnya.

Ia merupakan kali ketiga Antetokounmpo merekodkan lebih daripada 40 mata dalam Final NBA selain merekodkan lebih daripada 20 mata dalam satu suku buat kali kedua untuk menyamai apa yang pernah dilakukan Michael Jordan pada 1993.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang menyumbat masuk 17 daripada 19 balingan percuma, turut menjadi pemain ketujuh dalam sejarah Final NBA merekodkan lebih daripada 50 mata dalam satu perlawaan.

Tidak menjadi kejutan apabila Antetokounmpo dinamakan sebagai MVP Final NBA berikutan aksi cemerlang yang dipamerkannya. Kejayaan itu turut hadir selepas dia mengalami kecederaan lutut dalam Final Persidangan.