Fenerbahce lepaskan khidmat Ozil atas persetujuan bersama

Ammar Hakim
July 13, 2022 06:23 MYT
Fenerbahce mengesahkan Mesut Ozil telah meninggalkan kelab itu selepas kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama.
Bekas pemain tengah Jerman itu menyertai gergasi Istanbul itu dengan perjanjian tiga setengah tahun pada Januari 2021 selepas dibebaskan oleh Arsenal.
Perpindahan Ozil tidak berjalan seperti yang diharapkan, perancang itu sekali lagi diketepikan susulan tidak tersenarai dalam skuad utama pada bulan Mac.
Pemain berusia 33 tahun itu berselisih dengan ketua jurulatih sementara, Ismail Kartal dan Jorge Jesus menjelaskan dia bukan sebahagian daripada rancangannya berikutan pelantikannya sebagai bos bulan lalu.
Ozil dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan Istanbul Basaksehir dan Fenerbahce mengumumkan penghijrahanya pada hari Rabu.
Kelab itu menulis tweet: "Telah dipersetujui bahawa kontrak antara kelab kami dan Mesut Ozil akan ditamatkan atas persetujuan bersama.
"Kami mendoakan kejayaan Mesut Ozil sepanjang kariernya."
Bekas pemain Real Madrid itu telah menyatakan pada akhir Mei bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Fenerbahce.
Dia menulis di Instagram: "Saya ulangi dengan penekanan; Saya tidak akan menamatkan karier saya dalam pasukan selain Fenerbahce.
"Keputusan ini sangat jelas dan muktamad. Mengikut keperluan kehidupan profesional, jika pengurusan kami mengambil keputusan tentang saya, saya hanya akan menghormati sikap ini. Saya akan bekerja keras dan sentiasa memastikan diri saya bersedia."
#Mesut Özil #Fenerbahçe #football #Süper Lig
;