Felda mahu pertahan rekod cemerlang tujuh perlawanan
Penulis Jemputan
July 22, 2017 17:14 MYT
July 22, 2017 17:14 MYT
Pemilihan pemain import yang tepat pada pertengahan musim menjadi rencah utama kebangkitan semula Felda United sambil berharap tiga mata berharga mampu dijelmakan dalam pertemuan dengan Perak di Stadium Shah Alam, malam ini.
Felda dijangka mampu meneruskan rentak cemerlang rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan apabila berdepan The Bos Gaurus.
Ujar jurulatihnya, B. Sathianathan, kehadiran dua import baru di jentera serangan, Thiago Augusto dan Ifedayo Olusegun, banyak mengubah nasib Felda pada pertengahan musim ini.
Pemilihan yang begitu teliti menjadi kunci utama mengapa kedua-dua pemain itu sudah meledak 10 jaringan, setakat ini.
"Saya sudah mengenali Thiago (Augusto) yang pernah bersama pasukan Felda, sebelum ini.
"Saya memang mahukan pemain seperti ini.
"Idedayo pula, selepas meneliti kelibatnya dalam sesi pemilihan, dia boleh beraksi di bahagiap sayap, di belakang penyerang dan boleh menyimpan bola.
"Kami meneliti rakaman permainannya di Bahrain di mana dia telah menunjukkan ciri-ciri yang kami cari," katanya.
Mengenai Perak, Sathianathan tidak menafikan pasukannya bakal berdepan laluan sukar selepas seri dalam dua pertemuan lalu.
Namun, dia berharap peluang beraksi di Shah Alam mampu memberi kelebihan kepada The Fighters berikutan lawan sedikit keletihan ekoran terpaksa beraksi di luar Ipoh dalam tiga perlawanan terakhir.
"Saya mengakui tugas kami agak sukar tanpa Zah Rahan (Krangar).
"Dengan pemain tempatan akan mengisi tempatnya, saya akan membuat percaturan berbeza.
"Kami harus mencapai keputusan berbeza selepas seri dua kali sebelum ini.
"Saya berharap kami dapat mencapai kemenangan malam ini."
#bola sepak malaysia
#liga super
#Football Association of Malaysia
#Harimau Malaysia
#Liga Super Malaysia
#Piala Malaysia
#Persatuan Bola Sepak Malaysia