Bos Gaurus semakin serasi

Public Anonymous User
February 17, 2017 08:29 MYT
"Kombinsi semakin menjadi. Satu petanda baik untuk pasukan dan saya harap keseluruhan pemain Perak kekalkan prestasi," demikian kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Jamal Mohd Aris.
Jelas Jamal, yang juga pengurus pasukan, Valdislav Mitkov Mitchev dan Faton Tonskin sudah mula menemui rentak jaringan, malah mula menampakkan kerjasama dan keserasian dengan pemain tempatan.
Ia diterjemahkan dalam kemenangan 3-0 ke atas PBMS FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Ipoh, Selasa lalu.
"Ya, keserasian ini penting untuk pertemuan dengan JDT, Sabtu ini, dan saya pasti jurulatih (Karl-Heinz) Weigang mempunyai banyak pilihan pemain.
"Datang Sabtu ini kalau mahu tahu kombinasi pasukan," tambahnya.
Sementara itu, ketua pasukan PBMS, Mohd Fadli Baharuddin, berasakan Stadium Perak agak sunyi.
"Selalunya perlawanan di Perak pasti riuh dengan sorakan penonton tetapi kali ini berbeza. Perlawanan dengan Perak mengajar kami banyak perkara. Kami tidak kecewa.
"Tewas 0-3 akibat kecuaian kami sendiri dan pasti kami akan mengkaji dan memperbaikinya.
"Lagipun pasukan kami ini disiapkan untuk menghadapi Piala FAM dan sasaran pasukan ialah untuk layak ke suku akhir," katanya.
;