Fasa kritikal bola sepak negara, tumpuan terarah di Kelana Jaya
Najmi Iman
December 3, 2024 19:20 MYT
December 3, 2024 19:20 MYT
Pelbagai reaksi dan persoalan mula timbul dalam kalangan peminat tempatan berkenaan desas-desus yang bakal berlaku berhubung pasukan Harimau Malaya pada 15 Disember depan.
Ramai yang menganggap ia adalah senario penting yang merupakan sebahagian daripada era reolusi bola sepak negara.
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai satu projek baru akan berlaku dan pengumuman tergempar akan dibuat sebagai tanda fasa pembaharuan mengaitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menjelang Mesyuarat Exco FAM esok, terdapat khabar angin mengatakan Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden.
Secara keseluruhan, ini merupakan penggal kedua Tan Sri Hamidin Mohd Amin menduduki kerusi nombor satu FAM sejak 2018.
Tempoh beberapa bulan akan datang dilihat sukar tatkala saingan Kelayakan Piala Asia 2027 akan bermula Mac depan dan keseluruhan penyokong menuntut supaya skuad kendalian Pau Marti Vicente layak secara merit.
"Dalam bola sepak, kami memerlukan saingan. Jika ada cabaran, ia adalah perkara yang sihat.
"Jawatan presiden bukannya kekal. Sesiapa sahaja boleh bertanding sebagai individu tertinggi FAM.
"Kita harus terima sesiapa sahaja sebagai calon demokrasi.
"Sudah sampai masanya kerana bola sepak Malaysia sudah ketinggalan. Sebagai contoh, pasukan-pasukan yang sedang meningkat menerima hakikat bahawa sesuatu perubahan perlu dilakukan dan membawa hasil.
"Jika ada watak baru yang boleh menjanjikan sesuatu kepada perubahan, mengapa tidak? ," kata Azlan Johar di Nadi Arena.