FAM rencana pelan lebih rapi buat futsal negara

Shaiful Shamsudin
November 9, 2024 19:06 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail, menganggap masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar ketua jurulatih futsal negara, Rakphol Sainetngam, memandangkan pengendali kelahiran Thailand itu baru dilantik Ogos tahun lalu.
Jelasnya, ketika ini badan induk itu berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan jurulatih berusia 44 tahun tersebut terutama dengan falsafahnya mengetengahkan bakat-bakat muda di pentas antarabangsa.
Rosmadi yang juga naib presiden FAM turut mengesahkan organisasi itu sedang merencana pelan rapi buat skuad futsal negara bagi menghadapi kalendar 2025 terutama kelayakan Kejohanan Futsal Piala Asia 2026 di samping Sukan SEA Thailand 2025.
Terbaru, Malaysia menamatkan saingan Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 Thailand di kedudukan ketiga peringkat Kumpulan A hasil dua kemenangan serta dua kekalahan.
"Kami perlu berlaku adil kerana Rakkphol baru lebih kurang setahun di sini dan Kejohanan ASEAN merupakan kejohanan kedua di bawah kendaliannya.
"Keupayaan pasukan dan keamatan pemain dalam keadaan tinggi. Biarpun sudah tamat perlawanan, pemain negara masih boleh meneruskan aksi.
"Peralihan kepada pemain muda di landasan tepat dan saya positif bahawa kami menjadi salah satu pencabar terutama di Asia Tenggara," katanya.
#FAM #Futsal
;