Faktor negara Islam gamit Karim Benzema sarung jersi Al-Ittihad

Shaiful Shamsudin
June 9, 2023 10:29 MYT
Karim Benzema mendedahkan penghijrahannya ke Arab Saudi dipengaruhi faktor ia negara Islam ketika diperkenalkan di hadapan 60,000 penyokong Al-Ittihad, pagi tadi.
Selepas 14 tahun menyarung jersi Real Madrid, pemilik semasa Ballon D'Or itu berhajat mencari angin baru, seterusnya mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo ke Timur Tengah.
Pemain berusia 35 tahun itu menerima sambutan meriah ketika diperkenalkan sambil memakai nombor sembilan ketika dia berjalan keluar ke padang.
Benzema yang akan menikmati kontrak tiga tahun bernilai £258 juta (RM1.4 bilion) mendedahkan bahawa perpindahannya ke Arab Saudi didorong oleh agama, bukannya wang yang ditawarkan.
"Kerana saya adalah Islam dan ini adalah sebuah negara Islam. Saya sentiasa mahu tinggal di sini," katanya.
"Saya pernah ke Arab Saudi dan saya berasa gembira mengenainya.
"Bagi saya ia adalah tempat yang saya mahukan. Saya menaruh harapan ke atas kelab yang baru disertai ini menerusi kudrat yang ada dan yang paling penting untuk memenangi kejuaraan.
"Ini satu lembaran baru untuk saya dan saya ingin memacu kelab ini. Kelab ini mempunyai semangat yang tinggi."
#Karim Benzema #Al-Ittihad
;