Frank Lampard tidak mahu tergesa-gesa sambil memberi bayangan kecederaan Dominic Calvert-Lewin masih berlanjutan yang memaksa penyerang itu berehat seminggu lagi.

Pemain Everton itu bergelut dengan kecergasan sejak 12 bulan lalu dan secara tidak langsung membantutkan hasratnya untuk terpilih ke Piala Dunia Qatar, bulan depan.

Dia sepatutnya dipertaruhkan bertemu West Ham dua minggu lalu, tetapi Lampard cuba mengalihkan tekanan terhadap Calvert-Lewin selain menjangkakan anak buahnya itu boleh memainkan peranan ketika mereka berdepan Manchester United minggu depan.

Penyerang itu cedera pada malam sebelum kempen dan Frank Lampard berharap untuk mendapatkan Calvert-Lewin menentang West Ham pada 18 September tetapi terpaksa menariknya keluar dari perlawanan itu.

"Saya tidak bercakap tentang isu keyakinan apabila mengaitkannya," kata bekas pengendali Chelsea itu.

"Tetapi, jika ia timbul sekalipun, ia masih boleh difahami sepenuhnya atas beberapa kecederaan sebelum ini.





"Komunikasi adalah kuncinya. Saya cukup mengenali pemain. Mereka sanggup memberitahu pengurus bahawa mereka dalam keadaan baik demi mahu kembali beraksi."

Menurutnya lagi: "Saya fikir apa yang berlaku ialah perbualan yang sangat terbuka antara saya, Dominic dan jabatan perubatan bagi memastikan kami mendapat hasil terbaik kerana ia adalah musim yang panjang. Saya tidak ingin membawa dia balik terlalu awal.'

"Dia kelihatan begitu kuat dalam latihan pra-musim di Amerika Syarikat dan dia tercedera sebelum bertemu Chelsea. Saya hanya mahu membawanya kembali ke tahap di mana dia adalah mesin gol, di mana dia kelihatan seperti Dominic yang kita semua mahu lihat.

"Ia lebih memastikan Dominic berada dalam keadaan terbaik. Kami telah melihat program dan memantau beberapa latihannya bagi memastikan dia berada dalam keadaan terbaik. Saya perlu memikirkan adakah dia sudah bersedia untuk beraksi semula."