EURO 2024: Portugal menang bergaya, Cristiano Ronaldo masih kempunan gol

Ammar Hakim
June 22, 2024 00:58 MYT
Portugal melakar kemenangan kedua dalam saingan peringkat kumpulan Euro 2024 ke atas Turkiye 3-0 di Signal Iduna Park, sebentar tadi.
Ini merupakan pertemuan keempat antara kedua-dua pasukan di pentas Kejohanan Eropah dan tiga kemenangan memihak Portugal dan mereka tidak pernah dibolosi dalam kesemua perlawanan tersebut.
Pemain tengah, Palhinha turun buat kali pertama dalam kesebelasan utama menggantikan Diogo Dalot daripada aksi pembukaan tempohari, dengan Ronaldo turun membuat penampilan ke-27 dalam saingan di pentas Euro.
Di sebalik aksi cemerlang ditampilkan ketika membantu Turkiye melakar kemenangan 3-1 ke atas Georgia, Arda Guler diletakkan di bangku simpanan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran mengalami kecederaan.
Portugal turun dalam aksi kedua dengan rentak kemenangan ke atas Czechia dalam aksi pertama, mempamerkan permulaan yang cukup mengagumkan -- menghasilkan deretan peluang demi peluang sehingga memecah kebuntuan pada minit ke-21 menerusi pemain Manchester City, Bernardo Silva, yang menyambar umpanan Nuno Mendes.
Tujuh minit kemudian, Turkiye terpaksa meneruskan permainan dengan ketinggalan dua jaringan, berpunca daripada kegagalan sistem komunikasi antara pemain pertahanan dengan penjaga gol yang berpangkalan di Manchester United, Altay Bayindir.
Bersambung dalam separuh masa kedua, Portugal mengekalkan corak permainan yang sama apabila berusaha untuk melancarkan serangan bertali arus sementara Turkiye turut berusaha mengurangkan defisit jaringan.
Bagaimanapun, Portugal yang berjaya menambah jaringan menerusi Bruno Fernandes, pemain Manchester United itu mudah menampan masuk bola yang diumpan oleh Cristiano Ronaldo.
Ronaldo berusaha untuk mendapatkan jaringan namun sentuhannya gagal membuahkan hasil namun ia tidak merencatkan kemenangan bergaya Portugal dalam aksi kedua saingan peringkat kumpulan.
#Portugal #Andre Onana #Euro 2024 #Turkiye