EURO 2024: Itali perlu lebih garang berdepan Sepanyol selepas getir atasi Albania -- Spalletti

Muzaffar Musa
June 16, 2024 22:36 MYT
Itali perlu lebih garang apabila menghadapi Sepanyol selepas mempamerkan aksi goyah ketika menewaskan Albania, kata ketua jurulatih pasukan itu, Luciano Spalletti.
Menjelang aksi blokbuster Kumpulan B berkenaan, Azurri dikejutkan dengan gol terpantas dalam sejarah Kejohanan Eropah, di mana Nedim Bajrami meletakkan Albania di depan seawal 23 saat pertama tetapi jaringan Alessandro Bastoni dan Nicolo Barella menyaksikan mereka bangkit memenangi perlawanan pembukaan itu 2-1.
Pasukan juara bertahan itu menikmati 68.3 peratus penguasaan bola, mencipta lima peluang dan merekodkan 34 sentuhan di dalam kawasan penalti lawan.
Bagaimanapun, selepas melihat seteru Kumpulan B, Sepanyol, membelasah Croatia 3-0 dalam satu lagi perlawanan, Spalletti sedar pasukannya memerlukan sesuatu yang lebih untuk mengatasi lawan itu.
"Masih ada beberapa perkara yang kami perlu perbaiki kerana kami menjangkakan kami lebih baik daripada apa yang kami hadapi dalam beberapa situasi.
"Kami perlu lebih garang, Kami perlu beraksi lebih kemas daripada segi cara kami membina permainan.
"Kami boleh membuka ruang buat pemain tetapi mereka perlu meloloskan diri dan menyakiti pasukan lawan.
"Kami sangka kami hebat dengan hanya menguasai permainan, Kami perlu menggerakkan bola dengan lebih cepat kerana kami melakukannya dengan sangat buruk dalam beberapa situasi.
"Tetapi menentang Sepanyol, kami mungkin dapat bermain dengan lebih ke depan.
"Kerana mereka cenderung untuk bermain lebih agresif sewaktu melakukan serangan dan tekanan, mungkin akan ada ruang untuk kami bermain di belakang garisan bertahan mereka," katanya.
#bola sepak #Luciano Spalletti #Sepanyol #Itali #EURO 2020
;