EURO 2024: Ia teruk -- Van Dijk kecewa Belanda bolos saat akhir kepada England

Muzaffar Musa
July 11, 2024 09:18 MYT
Ia teruk, kata Virgil van Dijk selepas Belanda dibolosi saat akhir untuk tewas 1-2 kepada England dalam separuh akhir Euro 2024 di Dortmund awal pagi tadi.
The Oranje hanya dibezakan beberapa saat untuk mengheret pemainan ke masa tambahan dalam aksi separuh akhir pertama mereka dalam Euro spanjang 20 tahun terakhir ini.
Ia selepas gol sepakan penalti Harry Kane memadamkan jaringan pembukaan Xavi Simons pada awal permainan.
Bagaimanapun, segalanya berubah pada fasa akhir perlawanan itu apabila pemain gantian, Ollie Watkins, menjaringan gol kemenangan England pada minit ke-90, sekali gus membawa The Three Lions ke penentuan kejuaraan menentang Sepanyol hujung minggu ini.
Ia bermakna Belanda tersingkir buat kali kelima dalam separuh akhir Kejohanan Eropah, di mana kali terakhir mereka menjulang trofi benua berkenaan ialah dalam edisi 1988, juga di Jerman.
"Saya tidak mampu berkata apa-apa," kata Van Dijk.
"Apabila anda dibolosi saat-saat akhir, ia amat teruk. Ini amat menyakitkan. Anda telah memberikan segalanya dan ia masih lagi berakhir seperti itu. Ia teruk.
"Anda lebih menguasai bola dan anda mahu mengambil kesempatan daripada beberapa momen yang anda peroleh.
"Ia berasa seperti kami mampu menjadikan kedudukan 2-1 tetapi itu tidak berlaku dan kini, kami berdiri di sini dengan tangan kosong," katanya.
#bola sepak #England #Virgil van Dijk #Belanda #Euro #2024
;