EURO 2024: Gol sendiri Jan Vertonghen bawa Perancis ke suku akhir singkir Belgium

Muzaffar Musa
July 1, 2024 01:57 MYT
Randal Kolo Muani masuk dari bangku pemain simpanan sebelum mencetuskan gol kemenangan yang membawa Perancis ke suku akhir Euro 2024 dengan menyingkirkan Belgium 1-0 di Dusseldorf sebentar tadi.
Pertembungan blokbuster dua pasukan gergasi Eropah itu berlangsung rancak dengan kedua-duanya merancanakan perancangan taktikal berbeza.
Perancis jelas pasukan yang lebih banyak menguasai perlawanan tetapi Belgium berupaya melakukan ancaman menerusi siri serangan balas pantas.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan sepanjang 45 minit pertama dengan Aurelien Tchouameni memperoleh dua peluang terbaik menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-39 dan waktu kecederaan separuh masa tetapi kedua-duanya melewati palang gol.
Percaturan Didier Deschamps untuk memasukkan Kolo Muani bagi menggantikan Marcus Thuram ternyata membuahkan hasil apabila pemain gantian itu melepaskan rembatan yang terbias ke lutut Jan Vertonghen sebelum gagal diselamatkan penjaga gol, Koen Casteels, pada minit ke-85.
Dengan kemenangan itu, Perancis akan menantikan pemenang di antara Portugal dan Slovenia bagi penentuan ke separuh akhir.
#bola sepak #Jan Vertonghen #Belgium #Perancis #Euro 2024 #Randal Kolo Muani
;