CROATIA 2 ALBANIA 2

Hasrat Croatia untuk meraih tiga mata pertama dalam Euro 2024 tidak kesampaian apabila dibolosi pada saat-saat terakhir untuk diikat 2-2 oleh Albania dalam aksi kedua Kumpulan B di Hamburg sebentar tadi.

Selepas tewas 0-3 kepada Sepanyol dalam aksi pembukaan hujung minggu lalu, Croatia bimbingan Zlatko Dalic sedar mereka tiada pilihan selain mengatasi Albania untuk kembali membuka peluang.

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan Qazim Laci seawal minit ke-11, bahkan turut buntu mencari gol penyamaan sepanjang separuh masa pertama.

Namun, segalanya kelihatan bakal berubah dalam babak kedua menerusi dua gol dalam tempoh dua minit yang dilakukan Vatreni.

Andrej Kramaric menyamakan kedudukan buat Croatia pada minit ke-74 dengan penyudah kemasnya di depan gawang lawan, di mana dia bijak menyusup masuk melepasi perangkap ofsaid sebelum memperdayakan pertahanan Albania.

Nasib kian menyebelahi Croatia berselang dua minit selepas itu apabila Klaus Gjasula tertampan bola ke gawang sendiri susulan satu situasi kelam-kabut di depan gawang Albania.

Ketika Croatia kelihatan akan meraih tiga mata pertama, Gjasula muncul wira dengan menebus kesilapan lalunya pada minit terakhir waktu kecederaan dengan merembat masuk bola daripada lintangan rakan sepasukan.

Keputusan itu menyaksikan Albania kekal di tangga ketiga dengan satu mata dan berkelebihan daripada segi beza jaringan dengan Croatia di tangga tercorot.

Albania seterusnya akan menghadapi Sepanyol manakala Croatia pula perlu menghadapi Itali dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Isnin ini.

Sebagai rekod, dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan di tangga ketiga terbaik akan layak ke pusingan kalah mati.