EURO 2024: Foden janji gandingan dengan Bellingham akan bertambah baik selepas dikritik hebat

Muzaffar Musa
June 19, 2024 00:52 MYT
Phil Foden yakin gandingannya dengan Jude Bellingham akan bertambah baik selepas prestasi bintang Manchester City itu dalam aksi pembukaan Euro 2024 dikritik hebat.
Ketika tonggak Real Madrid, Bellingham, menyerlah dengan menjaringkan gol kemenangan ke atas Serbia hasil tandukan padunya dan aksi memukau sepanjang di atas padang, impak Foden pula kelihatan terbatas dalam perlawanan pembukaan itu.
Foden menghasilkan 27 gol dan 13 bantuan jaringan dalam musim cemerlangnya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City, baru-baru ini tetapi dia hanya dapat menghasilkan satu peluang ketika skuad negaranya meraih kemenangan 1-0 ke atas Serbia.
Pemain berusia 24 tahun itu beralih ke posisi sayap kiri bagi membenarkan Bellingham bermain di bahagian tengah menyerang di belakang kapten, Harry Kane, sambil Bokayo Saka pula di bahagian sayap kanan.
Tidak seperti kebiasaan, Foden bukan sahaja tidak memberikan kesan kreatif, malah dia juga kelihatan agak senyap sepanjang perlawanan berkenaan.
Bagaimanapun, Foden yakin dia dan Bellingham akan dapat mengeluarkan aksi terbaik mereka biarpun terdapat desakan untuk menggugurkannya daripada kesebelasan Gareth Southgate menjelang aksi menentang Denmark tengah malam ini.
"Jude sememangnya bakat luar biasa. Dia membawa dirinya dengan amat baik dan saya fikir dia akan berkembang untuk menjadi seorang pemimpin.
"Gandingan kami baik ketika ini. Saya fikir ia akan meningkat dengan baik dan boleh menjadi lebih bagus.
"Dia seorang bakat yang menarik dan saya benar-benar seronok bermain dengannya," katanya.
#bola sepak #England #Phil Foden #Jude Bellingham #Euro 2024