Euro 2020: Itali memang layak jadi juara -- Chiellini

Muzaffar Musa
July 12, 2021 10:48 MYT
Kapten Itali, Giorgio Chiellini, menegaskan bahawa pasukannya memang layak memenangi perlawanan final Euro 2020 awal pagi tadi selepas mempamerkan aksi dominan ke atas England sebaik ketinggalan.
Azzurri bangkit daripada ketinggalan selepas dikejutkan dengan gol pembukaan Luke Shaw hanya seminit 57 saat selepas perlawanan bermula -- gol paling pantas dalam sejarah Kejohanan Eropah -- untuk memenangi gelaran kedua di peringkat Eropah.
Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan buat Itali pada minit ke-67 untuk menjadi pemain paling tua menjaringkan gol dalam final Euro sebelum skuad kendalian Roberto Mancini itu menjulang kejuaraan ke keenam dalam kejohanan utama selepas memenangi penentuan sepakan penalti 3-2.
England, dalam pada itu, hanya merekodkan 34.4 peratus penguasaan bola, di mana ia merupakan rekod terendah The Three Lions di Stadium Wembley sejak terikat 2-2 dengan Sepanyol pada November 2016.
Itali juga lebih banyak melakukan percubaan dengan 19 berbanding enam yang dilakukan England sepanjang 120 minit dan Chiellini berasakan pasukannya telah mempamerkan segala-galanya untuk bergelar juara di London.
"Saya fikir kami memang selayaknya menang," katanya kepada RAI Sport.
"Kami berasakan ada satu keajaiban bersama kami. Kami sudah bercakap mengenainya sejak Mei lalu dan kami layak mendapatkannya. Kesemua di Itali layak memenanginya.
"Ia sensasi yang luar biasa. Terima kasih buat semua yang menjadi sebahagian pasukan ini sejak tiga tahun lalu dan kami juga mendedikasikan kemenangan ini buat semua pemain yang menyaksikannya dari rumah mereka.
"Kuncinya adalah sentiasa untuk bermain bola sepak dan menikmatinya. Kami mahu menguasai permainan dan memegang bola.
"Walaupun bagaikan ditumbuk di muka pada minit kedua, kami mendominasi baki permainan dan benar-benar mahu menang," katanya.
#bola sepak #England #Giorgio Chiellini #Itali #EURO 2020
;