Euro 2020: Gol berganda Shaqiri buka peluang Switzerland ke pusingan 16
Muzaffar Musa
June 21, 2021 08:02 MYT
June 21, 2021 08:02 MYT
SWITZERLAND 3 TURKI 1
Switzerland berpeluang cerah meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati Euro 2020 selepas menewaskan Turki 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Vladimir Petkovic itu menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Itali dan Wales dan perlu menunggu untuk melihat sama ada mereka akan meneruskan kemaraan selaku satu daripada empat pasukan di tangga ketiga terbaik walaupun kemenangan di Baku itu telah meletakkan mereka di posisi yang amat berpotensi.
Haris Seferovic meletakkan Switzerland di depan menerusi penyudahnya dari jarak 20 ela pada minit keenam sebelum Xherdan Shaqiri memastikan pasukannya menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-26.
Irfan Can Kahveci kembali merapatkan kedudukan buat Turki pada minit ke-62 tetapi Shaqiri memastikan kemenangan pertama Switzerland dalam edisi kali ini -- dan turut memastikan lawan mereka meninggalkan kejohanan tanpa sebarang mata -- menerusi satu lagi gerakan pemusnahnya pada minit ke-68.