Johor Darul Ta'zim (JDT) berharap tidak lagi perlu beraksi di atas padang yang seteruk Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada masa akan datang.

Pengendalinya, Esteban Solari, berkata keadaan padang yang teruk itu memberikan kesan kepada pasukan apabila dua pemain utama mereka mengalami kecederaan.

“Malangnya, keadaan padang perlawanan akhir sangat teruk dan JDT berdepan kecederaan pemain dalam perlawanan itu.

“Ia sangat memalukan kepada pemain kerana mereka menjaga diri dan berlatih dengan gigih. Ia memberikan kesukaran kepada kami kerana mereka pemain yang bagus.

“Kami juga berharap tidak perlu lagi bermain di atas padang sebegitu," katanya.

Sebelum ini, padang SNBJ menjadi tumpuan kritikan penyokong selepas rosak teruk akibat digunakan untuk konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.

Ia sekali gus memberikan kesan kepada aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC (TFC) selepas padang tersebut tidak dapat dibaiki sehingga tarikh perlawanan tersebut.

Beberapa pemain dilaporkan mengalami kecederaan akibat keadaan padang itu antaranya dua pemain JDT, Corbin Ong dan Shane Lowry serta pertahanan TFC, Ubaidullah Shamsul.

Kredit: Sinar Harian