EPL: Wolves tamatkan rekod tanpa kalah Manchester City
Muzaffar Musa
October 1, 2023 08:44 MYT
October 1, 2023 08:44 MYT
WOLVERHAMPTON WANDERERS 2 MANCHESTER CITY 1
Wolves mencipta kejutan terbesar musim ini apabila menumbangkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, 2-1 di Stadium Molineux awal pagi tadi.
Gol kemenangan Hwang Hee-chan dalam babak kedua memberikan pasukan tuan rumah itu kemenangan yang tidak dijangka, biarpun mereka terlebih dahulu mendahului pada awal permainan.
Jaringan daripada sepakan percuma Julian Alvarex pada minit ke-58 membantu City kembali mengikat kedudukan selepas Ruben Dias terjaring gol ke gawang sendiri seawal minit ke-13.
Bagaimanapun, pasukan pelawat bimbingan Pep Guardiola itu terpaksa akur rekod tanpa kalah mereka dileburkan Hwang pada minit ke-66.
City turun dengan misi untuk merekodkan kemenangan dalam tujuh perlawanan pertama EPL buat kali pertama sepanjang sejarah mereka tetapi akur dengan kekalahan di tangan Wolves, yang mempamerkan aksi penuh agresif dan bersemangat tinggi.
Kekalahan itu menjadikan persaingan merebut kedudukan teratas liga menjadi lebih hangat menjelang kunjungan City ke laman Arsenal hujung minggi ini -- di mana The Gunners kini hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu liga berkenaan -- selepas bertemu RB Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.