EPL: Wolves-Julen Lopetegui tiada lagi persefahaman

Muzaffar Musa
August 9, 2023 01:52 MYT
Tempoh Julen Lopetegui sebagai ketua jurulatih Wolves tamat selepas sembilan bulan apabila kedua-dua pihak itu bersetuju untuk membawa haluan berbeza menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
Bekas pengendali skuad kebangsaan Sepanyol dan Real Madrid itu tiba pada November lalu selepas Wolves berhasil dalam percubaan kedua mereka untuk mendapatkannya sebagai pengganti Bruno Lage.
Lopetegui memacu pasukan itu menghindari kelompok bawahan sehingga menamatkan musim lalu di tempat ke-13 tetapi ketidakpuasan hatinya mengenai polisi pengambilan pemain kelab itu sepanjang musim panas ini telah menjadi punca pengurus berusia 56 tahun itu angkat kaki.

The club and Julen Lopetegui have reached an agreement to part ways, ending his nine month stay as head coach.

— Wolves (@Wolves) August 8, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ketua jurulatih dan kelab ini mengakui dan menerima terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa isu dan bersetuju untuk menamatkan kontraknya secara baik dan ia merupakan penyelesaian terbaik buat kesemua pihak," kata satu kenyataan yang dikeluarkan Wolves.
"Perbincangan sepanjang beberapa minggu ini diadakan dengan penuh rasa hormat dan mesra, memberikan masa dan ruang buat kelab ini untuk mencari pengganti sambil memastikan Julen dan staf kejurulatihannya dapat meneruskan persiapan seperti yang dirancang dalam memastikan pasukan ini dapat bermain dalam kondisi terbaik menjelang permulaan EPL musim ini."
#bola sepak #Wolves #Liga Perdana Inggeris #Julien Lopetegui