Tottenham berharap dapat mengekalkan Harry Kane bersama mereka sehingga penghujung karier penyerang itu, kata Antonio Conte.

Kane menjaringkan gol berganda ke atas Nottingham Forest hujung minggu lalu untuk kini mengumpulkan 20 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- kali keenam dia mencapai jumlah itu bagi satu musim liga sepanjang kariernya.

Kontrak Kane akan tamat pada penghujung musim ini dan Spurs dilaporkan terdesak untuk mengekalkan khidmat pemain berusia 29 tahun berkenaan.

Ketika masa depan Conte bersama pasukan itu juga masih samar, pengurus berbangsa Itali itu yakin Tottenham akan melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan Kane bersama mereka sehingga penghujung kariernya.

"Saya fikir ia soalan buat kelab ini," kata Conte dalam sidang media.

"Sudah pasti kelab ini mahu bersama Harry Kane sepanjang kariernya, itulah pandangan saya.

"Apabila anda memiliki pemain sepertinya, penyerang bertaraf dunia sepertinya, sudah pasti anda mahu dia bermain bersama anda sepanjang hidupnya.

"Tetapi, anda kemudian cukup mengenali bola sepak. Adakalanya perkara yang tidak terduga akan berlaku tetapi bukan tugas saya untuk membuat keputusan itu.

"Ia satu keputusan yang perlu dibuat kelab ini dan Harry," katanya.