Erik ten Hag memberikan amaran buat Manchester United untuk lebih klinikal selepas menghampiri kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan dengan menewaskan Everton 2-0 di Old Trafford malam tadi.

United memperkukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas EPL selepas memperoleh kemenangan selesa berkenaan.

Scott McTominay menamatkan penantian jaringan pertamanya musim ini dengan menjaringkan gol pembukaan United pada sembilan minit terakhir babak pertama sebelum pemain gantian, Anthony Martial, mengesahkan pungutan tiga mata itu menerusi golnya dalam separuh masa kedua.

United melakukan 21 percubaan sepanjang separuh masa pertama dan ia merupakan jumlah tertinggi dilakukan mana-mana pasukan sepanjang 45 pertama dalam EPL musim ini tetapi penjaga gol Everton, Jordan Pickford, beraksi cemerlang menafikan kebanyakan peluang itu dan hanya dibolosi satu gol sepanjang tempoh berkenaan.

Sepanjang 90 minit, United terlepas tujuh peluang keemasan dan ia juga merupakan rekod tertinggi didaftarkan dalam satu perlawanan liga musim ini.

Marcus Rashford antara yang kerap dikecewakan Pickford sepanjang perlawanan itu sebelum penjaring terbanyak The Red Devils berkenaan kelihatan terhincut-hincut meninggalkan padang gara-gara kecederaan kelangkang.

Pengurus United, Ten Hag, mahu melihat penyudah yang lebih baik daripada barisan pemainnya untuk memastikan penamat empat teratas musim ini, selain turut memburu gelaran Liga Europa dan Piala FA.

Dia berkata kepada BBC's Match of the Day: "Kami perlu lebih klinikal dan lebih kejam dan perlawanan ini perlu ditamatkan dalam separuh masa pertama tetapi kami tidak melakukannya.

"Tetapi ia masih satu persembahan yang bagus dan saya masih akan memberikan pujian yang besar buat pasukan ini," katanya.