EPL: Ten Hag beri amaran Martinez perlu kembali fokus selepas menang Piala Dunia

Muzaffar Musa
December 23, 2022 23:43 MYT
Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez, perlu bersedia memberikan impak dengan kepulangannya ke kelab berkenaan selepas memenangi Piala Dunia bersama Argentina, tegas pengurus pasukan itu, Erik ten Hag.
Martinez beraksi dalam lima daripada tujuh perlawanan Argentina sewaktu mereka bergelar juara dunia buat kali ketiga di Qatar baru-baru ini, dua daripadanya sebagai kesebelasan utama.
Kejayaan Argentina itu -- yang dimuktamadkan dengan penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 dengan Perancis dalam masa tambahan -- mencetus keraian luar biasa di negara mereka dan acara perayaan di Buenos Aires terpaksa dihentikan kerana terlalu ramai penyokong menahan bas pasukan.
Walaupun Ten Hag mengakui Martinez perlu menikmati kemuncak kejayaan dalam kariernya itu, dia menegaskan keperluan untuk kesemua pemain The Red Devils kembali memberikan fokus sepenuhnya sebaik saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung tidak lama lagi.
"Saya faham emosinya amat besar apabila anda pencapai kejayaan seperti ini. Apabila anda memenangi Piala Dunia untuk negara anda, ia sesuatu yang luar biasa, ia perkara tertinggi yang anda boleh capai.

No busquen dinero, busquen gloria!!! En nuestra tierra con nuestra gente. ARGENTINA ARGENTINA ARGENTINA ?????????? pic.twitter.com/H0MQn5ESwo

— Lisandro Martinez (@LisandrMartinez) December 20, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Tetapi Licha perlu menerima bahawa 27 haribulan ini, EPL akan bersambung.
"Kita semua tahu ia akan diteruskan berselang lima atau enam hari selepas final Piala Dunia dan kita semua sedar bahawa selepas Piala Dunia, EPL akan segera diteruskan.
"Kesemua pemain perlu bersedia untuknya dan anda perlu menerimanya; bukan hanya pengurus dan barisan kejurulatihan tetapi pemain juga.
"Kami mahukan satu pasukan yang kuat untuk merebut trofi. Kita sedang bercakap mengenai satu kejohanan yang sukar, jadi kami perlu bersedia dan ia bukannya mudah," katanya.
Selepas menewaskan Burnley 2-0 untuk mara ke suku akhir Piala EFL kelmarin, United akan kembali ke saingan EPL dengan melayani kunjungan Nottingham Forest pada awal pagi Rabu ini.
#bola sepak #Manchester United #Argentina #Liga Perdana Inggeris #Erik ten Hag #Piala Dunia Qatar #Lisandro Martinez