Pemain sayap Perancis itu kini sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan £30 juta (RM175.48 juta) ke pasukan Saudi Pro League, Al Ahli.
Pemain berusia 26 tahun itu tidak terlibat dalam kebanyakan program pramusim The Magpies dan kini memberikan ucapan perpisahannya buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam satu kiriman Instagram.
Dia berkata: "Saya jatuh cinta dengan Newcastle, mendapat peluang untuk meninggalkannya sewaktu zaman gelap tetapi saya terlewat, saya sudah jatuh cinta, saya mahu, saya perlu, saya mesti kekal untuk membantu pasukan saya selamat daripada penyingkiran EPL kerana ia segala-galanya buat saya.
"Sudah pasti sewaktu zaman gelap itu ada yang meragui kami tetapi saya sentiasa percayakan kelab ini dan lihatlah di mana saya berada sekarang, ia benar-benar indah.
"Saya meninggalkan Newcastle ketika mereka berada di tempat yang sepatutnya dan ini adalah trofi terhebat saya kerana saya merupakan sebahagian daripadanya," katanya.
Untuk rekod, Saint-Maximin menyertai Newcastle daripada Nice dengan tanda harga £16 juta (RM93.59 juta) pada 2019. Dia melakukan 124 penampilan dan menjaringkan 13 gol sepanjang bersama kelab itu.