MANCHESTER CITY 1 CHELSEA 1

Rodri menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk pasukan juara bertahan, Manchester City, mengikat Chelsea 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Raheem Sterling mencetuskan sensasi dengan menjaringkan gol ke atas bekas kelabnya untuk Chelsea mendahului pada tiga minit terakhir babak pertama.

City sememangnya perlu memberikan respons segera seandainya mereka mahu terus memberikan tekanan buat dua lagi pasukan pencabar kejuaraan, iaitu pendahulu liga, Liverpool, dan pasukan di tangga kedua, Arsenal.

Mereka melancarkan serangan bertali arus ke gawang pelawat tetapi jaringan penyamaan yang dinantikan hanya hadir pada minit ke-83, di mana Rodri memanfaatkan bola muntah susulan percubaan awal Kyle Walker.

Keputusan itu menyaksikan City tergelinir ke tangga ketiga dengan 53 mata, empat mata di belakang Liverpool dan dua mata di belakang Arsenal tetapi memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.