Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, menggesa Gareth Southgate agar menyenaraikan James Maddison untuk dibawa ke Piala Dunia Qatar bulan depan.

Ini selepas tonggak tengah itu mempamerkan aksi terpuji ketika The Foxes meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan menewaskan Nottingham Forest 4-0 dt Stadium King Power awal pagi tadi.

Maddison menjaringkan dua gol di antara jaringan Harvey Barnes dan turut membantu penyudah pemain gantian, Patson Daka, untuk memastikan Leicester keluar daripada kedudukan tercorot EPL.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang hanya memiliki satu penampilan antarabangsa bersama England, menerima penghormatan daripada penonton ketika dikeluarkan pada lewat permainan.

Dia kini telah terlibat dengan 14 jaringan sejak Mei lalu untuk berkongsi kedudukan kedua tertinggi dengan tonggak Manchester City, Kevin de Bruyne, daripada segi sumbangan terbanyak dan hanya Erling Haaland memiliki rekod lebih baik dengan 17 penglibatan jaringan.

Rodgers percaya tonggak Leicester itu sepatutnya diberikan peluang untuk ke Qatar walaupun pengurus England, Southgate, terus mengabaikan pemain itu ketika The Three Lions tersingkir daripada Liga Negara-Negara Eropah (UNL) baru-baru ini.

Rodgers berkata: "Ia sesuatu yang merugikan baik buat negara ini dan James sendiri.

"Anda dapat melihat sendiri bakat dan prestasinya sepanjang 18 bulan terakhir ini, hanya Harry Kane dapat mencipta dan menjaringkan gol lebih banyak daripadanya.

"Dia seorang pemain yang amat bijak dan saya benar-benar berharap dia dapat meneruskan prestasinya dalam beberapa bulan ke depan.

"Kerana jika anda mahukan kreativiti dan anda mahukan perwatakan, dia sudah memperbaiki aspek bertahan dalam permainannya, dia boleh beraksi di beberapa posisi dan bagi saya dia sememangnya pemain yang luar biasa.

"Dia boleh beraksi di banyak posisi di tahap tertinggi seperti yang ditunjukkannya malam ini," katanya.