EVERTON 1 LUTON TOWN 2

Rob Edwards meluahkan rasa bangganya selepas Luton Town meraih kemenangan pertama ketika menewaskan Everton awal pagi tadi.

Kemenangan 2-1 The Hatters di Goodison Park itu merupakan kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan liga divisyen pertama sejak April 1992.

Tom Lockyer dan Carlton Morris menjaringkan gol daripada 'set-piece' dalam separuh masa pertama dan Everton kemudian cuba untuk menyamakan kedudukan tetapi hanya dapat menjaringkan satu gol menerusi Dominic Calvert-Lewin sebelum memasuki waktu rehat.

"Saya sangat bangga dengan pemain dan gembira untuk kelab ini," kata pengurus The Hatters itu.

"Saya faham ia adalah detik yang bersejarah. Saya juga tidak mahu menerima perkara ini dengan cara yang angkuh tetapi saya sudah pun menjangkakan kemenangan ini dan kami benar-benar melakukannya.

"Saya memberitahu pemain saya sebelum perlawanan bawaha saya tahu hari ini akan menjadi hari yang baik.

"Kami benar-benar percaya kami datang ke sini untuk memenangi perlawanan. Kami mempunyai perancangan yang sangat baik.

"Everton juga mempunyai beberapa pemain yang bagus, terutama dalam separuh masa pertama.

"Di kedudukan 2-0, banyak pergerakan dan perkara yang berlaku. Kami terpaksa memperbaikinya pada waktu rehat.

"Kemudian saya lihat kami beraksi lebih mantap. Kami layak mendapatkan kemenangan ini. Ia terasa sangat menakjubkan."