Recee James perlu berehat selama sebulan selepas mengalami kecederaan lutut berulang, demikian keputusan selepas pemain itu menjalani ujian imbasan.

Bek kanan Chelsea itu kembali beraksi ketika menentang Bournemouth awal pagi semalam selepas mengalami kecederaan lutut pada Oktober lalu sehingga terlepas kempen Piala Dunia Qatar bersama England.

Bagaimanapun, dia hanya dapat bertahan selama 50 minit sebelum dilihat terbaring dan memegang lututnya.

Pengurus Chelsea, Graham Potter, sebelum ini meluahkan kegusarannya mengenai kecederaan itu kerana ia dilihat berlaku di bahagian yang sama dan Chelsea malam tadi mengesahkan James mengalami kecederaan berulang.

"Pertahanan, Reece James, menjalani ujian imbasan hari ini selepas dikeluarkan dalam babak kedua kerana kecederaan lutut ketika menewaskan AFC Bournemouth 2-0 malam tadi," kata kenyataan itu.

"Malangnya, ujian imbasan mendapati pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan berulang dengan Reece kini dijangka akan berehat sehingga sebulan."