Persatuan Pemain Bolasepak Profesional England (PFA) berkata keganasan terhadap pemain semamngnya sesuatu yang langsung tidak dapat diterima selepas seorang penyokong didapati menendang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale, dalam perlawanan 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham awal pagi tadi.

Susulan kemenangan 2-0 The Gunners di Stadium Tottenham Hotspur, seorang penonton bertindak memanjat penghadang dan menyasarkan tendangan ke atas penjaga gol kebangsaan England berkenaan.

PFA mengeluarkan kenyataan bahawa perkara berkenaan merupakan isu utama yang perlu diberikan perhatian demi memastikan setiap pemain dilindungi.

"Keganasan terhadap pemain sememangnya tidak boleh diterima. Insiden seperti ini sudah kerap kali berlaku," kata kenyataan itu.

"Pemain mempunyai hak untuk berasa selamat di tempat kerja mereka. Apabila pemain diserang, kita menjangkakan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk melindungi mereka akan dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin.

"Sebagai persatuan pemain, kami menganggapnya sebagai isu penting. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menuntut pemain dan staf dilindungi di tempat kerja mereka."