Pep Guardiola melabel Erling Haaland sebagai penyerang terbaik dunia selepas penggempur Manchester City itu disamakan dengan pemain dari Liga Dua oleh pemerhati sukan, Roy Keane.

Bekas kapten Manchester United, Keane, mengeluarkan kenyataan itu sewaktu bertugas sebagai pakar jemputan Sky Sports selepas Haaland kelihatan buntu ketika City terikat tanpa jaringan dengan Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Keane berkata Haaland, yang merupakan pemenang Kasut Emas musim lalu, memiliki kelas tersendiri ketika di depan gawang tetapi persembahannya secara keseluruhan hanya seperti pemain Liga Dua.

Guardiola tidak berminat dengan kritikan itu sambil menyatakan bahawa Haaland memainkan peranan penting ketika City memenangi gelaran treble musim lalu dan menegaskan kegagalan untuk menjaringkan gol ketika berdepan Arsenal perlu dipikul secara sepasukan.

"Saya tidak bersetuju dengannya, langsung tidak," kata Guardiola.

"Dia merupakan penyerang terbaik dunia dan dia membantu kami memenangi apa yang telah kami menangi musim lalu. Erling amat luar biasa.

"Alasannya adalah kami tidak mencipa peluang dan ia bukan disebabkan Erling.

"Standard yang dimiliki Erling amat sukar dipercayai dan semua orang mengharapkan sesuatu yang berbeza," katanya.