Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, kembali ke pangkuan kelab itu selepas pulih daripada pembedahan belakang.

Agensi berita PA melaporkan bahawa jurulatih berbangsa Sepanyol berkenaan kini telah kembali menjalankan tugasnya selepas berehat selama tiga minggu.

Penolong pengurus, Juanma Lillo, mengambil tanggungjawab membimbing pasukan utama City sejak Guardiola, 52, pulang ke sepanyol untuk menjalani prosedur rutin itu bulan lalu.

Sepanjang ketiadaan Guardiola, juara 'treble' musim lalu itu menewaskan Sheffield United dan Fulham untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

City seterusnya akan meneruskan aksi EPL selepas waktu rehat antarabangsa dengan berdepan West Ham hujung minggu ini sebelum memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di laman Red Star Belgrade awal pagi Rabu depan.