Kapten Liverpool, Jordan Henderson, berkata ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan jika Jude Bellingham dapat menyertainya di Anfield tetapi berpendapat pemain remaja itu perlu memilih satu kelab yang benar-benar sesuai buat dirinya.

Bellingham menjadi pemain remaja paling berpotensi sepanjang bersama Borussia Dortmund, di mana dia turut mempamerkan aksi meyakinkan bersama Henderson dalam Piala Dunia Qatar hujung tahun lalu.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu kini hangat dikaitkan untuk menyertai Liverpool, Manchester City dan Real Madrid tetapi perkembangan terbaru menunjukkan bahawa The Reds berkemungkinan tidak dapat bersaing secara kewangan jika dua pesaing itu memulakan perang harga -- Bellingham dijangka akan meninggalkan Dortmund dengan yuran perpindahan £100 juta (RM542.30 juta).

Seperti orang lain, Henderson juga amat kagum dengan perkembangan Bellingham dan walaupun dia berharap pemain itu dapat bersamanya di peringkat kelab dan antarabangsa, dia menegaskan bahawa pemain remaja itu perlu memikirkan mengenai dirinya sendiri.

"Saya hanya mahu dia menjadi pemain terbaik sebolehnya dia, itu sudah pasti. Jika pada akhirnya dia menyertai Liverpool, ia sesuatu yang menakjubkan.

"Tetapi ia perlu menjadi sesuatu yang betul buat dirinya dan akan ada banyak kelab di luar sana yang mahukannya.

"Dia perlu memikirkan mengenai diri sendiri dan memastikan dia memilih keputusan yang tepat buat kariernya.

"Tetapi akan ada sebuah kelab bertuah yang akan memilikinya, tidak kira ketika ini, dalam setahun lagi atau dua tahun lagi, ia akan menjadi sebuah kelab yang bertuah," katanya.