Pengarah Urusan Tottenham, Fabio Paratici, melepaskan peranannya sementara kelab berkenaan menunggu keputusan rayuannya selepas dia digantung di peringkat antarabangsa.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu lalu mengumumkan bahawa penggantungan 30 bulan Paratici yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Itali (FIGC) sejak Januari lalu telah diperluaskan ke peringkat dunia.

Situasi itu jelas menjejaskan Spurs, yang berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka "perlu segera mendapatkan penjelasan lanjut FIFA" berhubung situasi Paratici.

Sesi rayuan individu bersia 50 tahu itu akan diadakan pada 19 April ini tetapi Tottenham mengesahkan awal pagi tadi bahawa Paratici sudah melepaskan jawatannya sehingga tarikh berkenaan.

"Berdasarkan keputusan FIFA itu, Fabio telah mencapai persetujuan dengan kelab ini bahawa dia akan mengambil cuti serta-merta sementara menunggu keputusan rayuannya," kata Spurs dalam satu kenyataan.

Paratici merupakan antara 11 individu yuang digantung FIGC pada Januari lalu selepas Juventus didapati bersalah melakukan pelanggaran berkaitan sejarah transaksi perpindahan pemain.

Juve turut ditolak 15 mata dalam saingan Serie A sebagai sebahagian daripada hukuman itu, di mana Paratici dan kelab berkenaan menafikan sebarang salah laku yang didakwa ke atas mereka dan sudah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Itali.