Pengurus Newcastle United, Eddie How, mengakui kejayaan pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tidak pernah terlintas di fikirannya sewaktu memulakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal musim ini.

The Magpies sah akan menamatkan musim ini di tangga keempat untuk kembali ke pentas tertinggi peringkat Eropah itu buat kali pertama sejak musim 2002-03 selepas terikat 0-0 dengan Leicester City awal pagi tadi.

Newcastle beberapa kali diancam dengan penyingkiran daripada EPL sejak Howe mula mengambil alih pasukan itu pada 2021 tetapi dia kini boleh menarik nafas lega apabila tiket ke kejohanan Eropah musim depan sudah berada di tangannya.

Dengan nada gembira, Howe berkata: "Perkara ini tidak berada dalam fikiran kami satu ketika dulu. Kami mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran dengan luar biasa berdasarkan di mana kami bermula.

"Kami berharap dapat terus meningkat dan menjauhkan diri daripada zon bahaya dan membwa pasukan ini ke posisi yang mungkin kami boleh bersaing di peringkat Eropah dalam beberapa musim lagi, jadi kami melakukannya lebih awal daripada apa yang dijadualkan.

"Kejayaan ini datang dengan cabaran lebih besar pada masa akan datang tetapi apabila anda berada dalam momen ini dan terdapat peluang seperti ini, anda perlu mengambilnya," katanya.