EPL: Mungkinkah giliran Emery pula aibkan Ten Hag?
King Hisyam
October 3, 2024 19:06 MYT
October 3, 2024 19:06 MYT
Menghuni di tangga ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris nampaknya tak banyak yang mampu diperkatakan oleh Erik Ten Hag jika mahu bercakap tentang pencapaian terbaiknya setakat ini.
Masakan tidak, daripada enam perlawanan yang diharungi, hanya dua kemenangan sahaja yang mampu direkodkan menyebabkan peminat lebih gemar bercakap tentang kekalahan yang memalukan kelab Manchester United berbanding dua kemenangan itu.
Bahkan sebahagian kekalahan yang ditempuhi boleh disifatkan sebagai kekalahan yang agak memalukan hingga ada yang menganggap pengakhiran Red Devils musim ini tidaklah akan jauh sangat
berbanding musim lalu.
Setakat ini Ten Hag tak banyak mendapat sokongan moral dari mana-mana pihak, sebaliknya ramai yang inginkan beliau agar melepaskan posisinya sekarang jika mahu melihat Man U berubah.
Bakal pula berdepan dengan Aston Villa hujung minggu ini agaknya apa pula nasib Man U nanti?
Untuk tahun 2024, rekod setakat ini menunjukkan Red Devils mencatat kemenangan sekali ke atas pasukan bimbingan Unai Emery itu Februari lalu dengan jaringan tipis 2-1.
Tetapi prestasi semasa kedua-dua pasukan ketika ini memang langsung tidak memihak kepada Ten Hag.
Walau apapun, jika hendak dikatakan Ten Hag mungkin akan memikirkan untuk meninggalkan Old Trafford jika berterusan dengan kekalahan, mungkin ia bukanlah realiti sebenar untuk disaksikan memandangkan
pengurusan baru sahaja menyambung kontraknya yang baru.
Aston Villa pula ketika ini berada di belakang Chelsea dengan 13 mata di kedudukan kelima selepas mengharungi enam perlawanan dengan empat kemenangan...rekod yang cukup membanggakan setakat ini.
Cuma barangkali peminat Man U harap jikapun tewas ia tidaklah terlalu besar dan memalukan lagi.
Siaran secara langsung perlawanan dua kelab ini boleh ditonton secara langsung Ahad ini pada jam 9.00 malam di saluran 813HD!