EPL: Moyes pertikai keputusan aneh VAR ketika West Ham tewas kepada Brentford

Muzaffar Musa
May 15, 2023 10:02 MYT
BRENTFORD 2 WEST HAM UNITED 0
David Moyes percaya pasukannya, West Ham, telah menjadi mangsa terlalu banyak keputusan aneh video bantuan pengadil (VAR) dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Selepas dinafikan sepakan penalti berikutan insiden bola terkena tangan pemain lawan sewaktu menentang Liverpool dan Manchester United sepanjang beberapa minggu lalu, nasib sekali lagi tidak menyebelahi The Hammers apabila jaringan mereka dibatalkan dengan sebab yang boleh dipertikaikan ketika tewas 0-2 di laman Brentford malam tadi.
Sewaktu hantaran lintang Said Benrahma menuju ke tiang gol, bola sempat terkena Divin Mubama, yang terpaksa mengangkat tangannya untuk mengelak daripada terlanggar tiang gol berkenaan.
Manuel Lanzini kemudian menghantar kembali bola ke dalam kawasan penalti untuk mudah ditolak masuk Dany Ings bagi merapatkan kedudukan buat The Hammers berbaki 25 minit terakhir.
Bagaimanapun, pengadil, Michal Oliver, segera ke monitor di tepi padang dan membuat keputusan untuk membatalkan jaringan itu kerana mendapati bola terlebih dahulu terkena tangan Mubama.
"Ia amat aneh," kata pengurus West Ham itu.
"EPL membuat keputusan membuat keputusan dan menganggapnya bola terkena tangan dengan sengaja. Saya fikir kami memerlukan sedikit penjelasan mengenainya.
"Yang pertama, saya boleh katakan yang ia tidak jelas. Jika ada sentuhan, saya fikir ia adalah bahunya dan berhampiran tulang selangkanya.
"Jika bola terkena tangan yang mendorong kepada jringan itu, kita semua tahu peraturannya tetapi saya langsung tidak lihat ia disengajakan. Ia lebih kepada dia melindungi dirinya daripada berlanggar dengan tiang. Saya terkejut ia dibatalkan.
"Tetapi, ayuh berlaku adil, jika ini kali pertama kita bercakap mengenainya dalam beberapa perlawanan lalu, saya akan katakan ia boleh berlaku tetapi kita kini bercakap mengenainya dalam tiga perlawanan.
"Ia sudah menjadi semakin kerap. Saya tidak mahu masalah tetapi kami berdepan tiga keputusan yang boleh mngubah situasi dan jika anda berkata kami mendapat layanan yang adil, saya tidak fikir seperti itu," katanya.
Hakikatnya, Brentford selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Bryan Mbeumo dan Yoane Wissa dalam babak pertama dan mereka mungkin dapat mendahului empat atau lima gol sebelum jaringan Ings dibatalkan.
#bola sepak #David Moyes #Brentford #Liga Perdana Inggeris #Wet Ham United
;