Leeds United memecat ketua jurulatih, Jesse Marsch, tidak sampai setahun perkhidmatannya.

Pengurus berbangsa Amerika Syarikat itu dilantik pada penghujung Februari tahun lalu selepas pemecatan Marcelo Bielsa tetapi dia kini mengalami nasib sama tidak sampai setahun memegang jawatan itu.

Marsch memacu Leeds untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas Bielsa meninggalkan mereka dengan hanya dipisahkan dua mata daripada kelompok tiga terbawah musim lalu.

Dia memainkan peranannya dengan cukup dramatik, di mana kemenangan 2-1 ke atas Brentford pada hari perlawanan terakhir musim lalu memastikan mereka menamatkan kempen berkenaan di tempat ke-17.

Leeds, bagaimanapun, kehilangan dua tonggak penting, Raphinha dan Kalvin Phillips, yang dijual sewaktu pramusim tetapi kehilangan itu menyaksikan Marsch diberikan kuasa untuk berbelanja besar bagi memperkuatkan pasukannya.

Ia termasuk tiga pemain baru, Maximilian Wober, Georginio Rutter dan Weston McKennie, yang didatangkan dalam jendela perpindahan bulan lalu, di mana kelab Yokshire Barat itu dilaporkan secara keseluruhan telah membelanjakan £129 juta (RM666.25 juta) musim ini.



Kebanyakan pemain yang dibelinya merupakan pemain yang cukup dikenalinya sepanjang bersama tiga pasukan Redbull, iaitu RB Leipzig, Salzburg dan New York Red Bull.

Empat daripada pembeliannya sepanjang musim ini datang daripada tiga pasukan itu, sekali gus menunjukkan betapa Marsch diberikan kuasa penuh dalam membina imej baru kelab berkenaan.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah menang sejak kali terakhir menewaskan Bournemouth 4-3 pada 5 NOvember lalu.

Sejak itu, mereka gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan hanya dapat meraih dua mata daripada lapan perlawanan terakhir.

Kemuncaknya tiba selepas mereka tewas 0-1 kepada Nottingham Forest hujung minggu lalu, di mana penyokong mereka mula melaungkan sorakan agar Marcsh meninggalkan pasukan itu.

Pengurusan tertinggi Leeds jelas mendengar rintihan penyokong mereka dan tindakan berkenaan diambil menjelang dua perlawanan berturut-turut menentang seteru tradisi, Manchester United, dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).