MANCHESTER UNITED 0 NEWCASTLE UNITED 0

Erik Ten Hag berasakan Manchester United "sepatutnya menang" selepas terikat tanpa jaringan dengan Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam tadi.

Pasukan tuan rumah itu memperoleh peluang terbaik untuk memecahkan kebuntuan pada lewat permain, di mana Fred dan Marcus Rashford melepaskan peluang keemasan pada ketika skuad bimbingan Ten Hag berkenaan memburu jaringan pada minit-minit terakhir.

Pelawat juga sepatutnya berasa kecawa tidak dapat membawa pulang tiga mata selepas dua kali menggegarkan palang gol lawan menerusi percubaan Joelinton dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Ten Hag berpuas hati dengan prestasi pasukannya dan berasakan mereka telah melakukan yang terbaik untuk meraih kemenangan dalam perlawanan itu.

Dia berkata kepada BBC Match of the Day: "Prestasi kami agak baik.

"Tidak dibolosi, kami memberikan tekanan dengan baik, kami mengawal permainan dan ada tahap kami mengawal bola dengan amat baik -- terutama dalam babak kedua.

"Kami mendominasi permainan dan pada akhirnya, kami sepatutnya dapat menjaringkan gol kemenangan. Satu peluang daripada Fred dan satu lagi daripada Rashford sepatutnya dijaringkan.

"Pada akhirnya, kami sepatutnya menang, kami layak mendapatkan kemenangan dan ia satu pujian yang besar buat pasukan ini, di mana kami layak mendapatkannya dengan aksi fizikal berdepan sebuah pasukan paling fizikal dalam liga ini. Mereka (Newcastle) beraksi dengan amat padat dan kami terus berusaha.

"Pasukan ini faham bagaimana untuk bekerjasama dari bawah sehingga ke atas. Kami sukar ditewaskan dan kami perlu mengekalkannya," katanya.

Keputusan itu menyaksikan The Red Devils kekal di tangga kelima EPL dengan ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, dan berkelebihan satu mata di atas Newcastle.