Erik ten Hag percaya Manchester United perlu menandatangani penyerang baru dalam jendela perpindahan bulan depan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, pembelian itu perlu melibatkan seorang pemain yang betul-betul tepat.

United menyasarkan untuk memperkuatkan jentera serangan mereka selepas melepaskan Ronaldo bulan lalu -- berikutan temu bual kontroversi pemenang Anugerah Ballon d'Or lima kali itu bersama Piers Morgan.

The Red Devils menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- rekod di belakang 10 pasukan lain dalam liga berkenaan -- sambil penyerang utama mereka, Marcus Rashford, hanya menjaringkan empat gol.

Pada ketika deretan penyerang dikaitkan untuk ke Old Trafford, Ten Hag berkata mana-mana pemain baru yang akan menyertai pasukan itu perlu memiliki standard yang tinggi.

"Yang pertama, jaringan boleh datang dari kelab ini sendiri; lihat (Alejandro) Garnacho, lihat (Anthony) Elanga, lihat (Facundo) Pellistri, yang mencuri tumpuan dalam Piala Dunia dan dalam perlawanan latihan menentang Everton minggu lalu. Itu yang pertama," kata Ten Hag.

"Kami sedar kami kehilangan seorang penyerang, jadi saya fikir kami perlu mendapatkan seorang penyerang tetapi ia perlu seorang pemain yang tepat.

"Penyerang yang tepat akan memberikan kualiti kepada pasukan dan bukan sekadar menambahkan pemain dalam skuad, kerana ia hanya akan memberikan anda masalah.

"Anda tahu kriterianya amat tinggi di Manchester United," katanya.