EPL: Manchester City perlu rantai kemas Marcus Rashford
Shaiful Shamsudin
October 28, 2023 12:18 MYT
October 28, 2023 12:18 MYT
Pertahanan Manchester City, Kyle Walker, memberi amaran kepada rakan sepasukannya di kem England, Marcus Rashford, kekal sebagai lawan yang perlu digeruni.
Penyerang Manchester United itu berada dalam prestasi buruk musim ini apabila sekadar menyumbangkan satu gol untuk kelab berkenaan menjelang perlawanan 'derby' menentang City di Old Trafford, malam esok.
Ia jauh berbeza berbanding musim lalu yang menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu meledak 30 gol termasuk ketika menjadi wira dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang City.
Walker berkata: “Saya rasa Marcus telah menunjukkan selama ini bahawa dia adalah jenis pemain yang boleh mencipta masalah untuk mana-mana pasukan jika mereka tidak merantainya.
"Dia penting buat United dan England sejak remaja lagi ata ancaman yang ditawarkannya bersama mana-mana pasukan yang diwakilinya. Dia mempunyai kualiti tinggi yang berbeza dan kami tahu dia boleh menjadi berbahaya pada hujung minggu ini.
Selepas memenangi 'treble' dan menewaskan seteru kota itu dalam perlawanan akhir Piala FA, Walker menegaskan City tidak bermotivasi untuk membalas dendam atas kekalahan liga, Januari lalu.
"Saya tidak fikir kami berfikiran seperti itu," kata bek kanan tersebut.
“Musim lalu sudah selesai, kami tewas di Old Trafford dan seterusnya memenangi treble. Akhirnya itulah yang penting.
“Sudah tentu perlawanan ini sangat bermakna tetapi ia adalah sebahagian daripada gambaran yang lebih besar dan kami akur tewas musim lalu selain nasib tidak memihak kepada kami, tetapi kami bangkit daripada itu dan melakukan apa yang diperlukan."