Manuel Akanji yakin rakan sepasukannya di Manchester City sudah bersedia untuk menghadapi pertemuan 'derby' di Old Trafford, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, pertahanan Switzerland itu yang mencetak nama selaku penjaring ketika City menewaskan Young Boys 3-1 di negara kelahirannya semalam bakal terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United, Ahad ini, gara-gara penggantungan.

Akanji dikenakan penggantungan domestik satu perlawanan selepas dibuang padang di hujung kemenangan ke atas Brighton minggu lalu, namun dia yakin keupayaan rakan-rakan lain di dalam kem City untuk memikul amanah kali ini.


“Ia akan menjadi satu perlawanan getir, ia akan menjadi sukar tetapi saya percaya kepada rakan sepasukan,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang dalam kesebelasan utama ketika mereka menewaskan seteru kota itu 2-1 untuk menjulang Piala FA, Jun lalu.

“Saya fikir kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan ini dan kami sekali lagi akan meraih tiga mata di tempat lawan.”