MAN CITY 4 ARSENAL 1

Pep Guardiola menegaskan tiga perlawanan seterusnya akan penentu kepada perebutan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 4-1 Manchester City di tempat sendiri biarpun belum cukup untuk merampas kedudukan peneraju daripada Arsenal.


City kekal di tangga kedua dan dua mata di belakang Arsenal tetapi berkelebihan dua perlawanan di dalam tangan ketika kempen berbaki tujuh perlawanan lagi.

Dua jaringan daripada Kevin De Bruyne di samping ledakan John Stones dan Erling Haaland -- sambil Rob Holding menyumbat gol sagu hati buat pelawat -- mengukuhkan persembahan di tempat sendiri, awal pagi tadi, tetapi pengurus City itu pantas mengalihkan perhatiannya kepada sisa perlawanan getir kelak.

"Saya rasa tiga perlawanan seterusnya amat penting," katanya bercakap kepada BT Sport.




“Kami akan bertemu Fulham pada Ahad ini.

"Apa yang Marco Silva usahakan musim ini adalah luar biasa dan kemudian dua perlawanan di laman sendiri menentang West Ham dan Leeds, perlawanan ini akan penentu.

"Realitinya hari ini kami masih di belakang Arsenal, mereka mempunyai dua mata di hadapan kami."