EPL: Liverpool capai kesepakatan tandatangani Cody Gakpo
Muzaffar Musa
December 27, 2022 10:10 MYT
December 27, 2022 10:10 MYT
Liverpool mencapai kesepakatan untuk menandatangani pemain kebangsaan Belanda, Cody Gakpo, demikian diumumkan PSV.
Gakpo dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah -- termasuk Manchester United dan Real Madrid -- selepas menjadi pemain tonggak penting pasukan bimbingan Ruud van Nistelrooy berkenaan.
Penyerang itu menghasilkan sembilan gol dan 12 bantuan jaringan dalam 14 perlawanan Eredivisie musim ini, rekod penglibatan gol ketiga tertinggi (21) dalam 14 perlawanan sejak musim 1999-00 -- hanya Van Nistelrooy (27 musim 1999-00) dan bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez (25 musim 2009-10), memiliki rekod lebih baik.
Pada ketika Manchester United dikaitkan untuk menandatangani Gakpo sepanjang beberapa bulan lalu, laporan terbaru mendedahkan Liverpool hampir pasti akan mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu dengan bayaran pendahuluan sebanyak £37 juta (RM197.88).
Selepas menyerlah membantu Belanda dengan tiga gol dalam Piala Dunia Qatar, Gakpo dijangka akan ke Anfield apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan.
Kelab gergasi Eredivisie itu berkata: "PSV dan Liverpool telah mencapai kesepakatan mengenai perpindahan Cody Gakpo.
"Penyerang berusia 23 tahun itu akan berlepas ke England dalam masa terdekat, di mana ia akan tertakluk kepada formaliti yang diperlukan sebelum perpindahan itu disempurnakan."