SHEFFIELD UNITED 0 LIVERPOOL 2

Gol daripada Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai menyaksikan Liverpool mencalarkan kepulangan Chris Wilder di Sheffield United dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Belanda, Van Dijk, menyumbat masuk bola daripada sepakan sudut dalam babak pertama sebelum Szoboszlai menjaringkan gol kedua pelawat dalam babak berikutnya untuk memberikan The Reds tiga mata penting di Yorkshire Selatan, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga kepada lapan perlawanan berturut-turut.

Kemenangan itu juga menyaksikan pasukan bimbingan Jurgen Klopp berkenaan mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal, kepada dua mata dengan menghimpunkan 34 mata setakat ini.

Wilder berdepan permulaan buruk dalam aksi pertamanya, dua setengah tahun sejak meninggalkan The Blades pada Mac 2021.

Ia merupakan kekalahan ke-12 United daripada 15 perlawanan musim ini dan dibezakan empat mata dengan Luton Town untuk keluar daripada zon penyingkiran.