EPL: Klopp kecewa Liverpool gagal pertahan kelebihan dua gol

Muzaffar Musa
May 14, 2024 10:15 MYT
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui kecewa apabila pasukannya melakukan kesilapan pada saat-saat akhir yang membenarkan lawan memperoleh dua gol ketika terikat 3-3 dengan Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Villa Park awal pagi tadi.
The Reds berada di depan seawal 61 saat pertama apabila Emiliano Martinez terjaring gol ke gawang sendiri dan walaupun Youri Tielemans kembali menyamakan kedudukan buat Villa, Cody Gakpo dan Jarell Quansah kemudian kembali meletakkan Liverpool selesa di depan.
Bagaimanapun, pemain gantian Villa, Jhon Duran, menjaringkan gol pada minit ke-85 dan 89 untuk menafikan tiga mata buat pasukan bimbingan Klopp berkenaan.
Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan itu, pengurus berbangsa Jerman berkenaan mengakui kecewa pasukannya gagal meraih kemenangan tetapi tetap berbangga dengan persembahan mereka.
Dia berkata: "Ia terlepas daripada kami. Kami bermain dengan amat baik. Kami menunjukkan pelbagai aksi menarik dan sudah pasti juga banyak masalah.
"Sebelum kami melakukan pertuakaran, kami memberikan mereka terlalu banyak peluang. Ia amat getir buat pemain kami.
"Mereka mencipta terlalu banyak peluang. Mereka terlalu kerap dalam kawasan kami dan kami perlu melakukan perubahan.
"Kemudian berlaku satu kesilapan. Ia sudah berlaku tetapi pada ketika itu, ia membuka peluang buat mereka.
"Mereka menjaringkan gol penyamaan dan saya tidak tahu bagaimana. Perawatakan pemain kami amat luar biasa malam ini.
"Kami mahu memenangi perlawanan ini. Pada ketika itu, ketika kami membenarkan mereka menjadikan kedudukan 3-2, ia menjadi amat sukar. Itulah dia kisah mengenai perlawanan ini," katanya.
#bola sepak #Liverpool #Aston Villa #EPL #Jurgen Klopp #Liga Perdana Inggeris
;