EPL: Klopp akui Bournemouth lebih layak menang berbanding Liverpool
Muzaffar Musa
March 12, 2023 11:05 MYT
March 12, 2023 11:05 MYT
Jurgen Klopp mengakui Bournemouth lebih layak menang ketika menewaskan Liverpool 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality malam tadi.
Kekalahan itu turut menyaksikan The Reds terlepas peluang untuk menduduki kelompok empat teratas EPL.
Jaringan Philip Billing dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk menumbangkan pasukan Merseyside itu dan memberikan The Cherries tiga mata penting untuk keluar daripada zon penyingkiran.
Mohamed Salah, yang masih segar dengan kejayaannya menjaringkan dua gol ketika membelasah Manchester United 7-0 hujung minggu lalu, turut gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak kedua.
Klopp berasakan jika Salah dapat menjaringkan peluang itu, perlawanan berkenaan mungkin akan berakhir dengan nota berbeza tetapi dia tetap mengakui bahawa Bournemouth -- yang hampir menewaskan pendahulu liga, Arsenal, hujung minggu lalu -- lebih layak untuk memperoleh kemenangan itu.
2 - Liverpool have lost consecutive Premier League matches against opponents starting the day bottom of the table for the first time since December 2010-February 2011 (vs Wolves and West Ham respectively). Comedown. pic.twitter.com/JnZqBMH5HH
— OptaJoe (@OptaJoe) March 11, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sudah lama kami tidak dapat sepakan penalti dalam saingan liga dan ia satu hipotesis yang jelas, jika dia menjaringkannya, perlawanan ini mungkin akan berubah," kata Klopp kepada BT Sport.
"Ia tidak akan menjadikan prestasi kami lebih baik tetapi ia sekurang-kurangnya dapat mengubah keputusan ini.
"Dia menjaringkan banyak gol tetapi dia terlepas jaringan penalti itu. Begitulah kehidupan.
"Amat jelas sejak saat pertama kami tiba di sini, Bournemouth sedang berusaha untuk kekal dalam liga, kelab yang hebat, bandar yang hebat, mereka mahu kekal dan mereka melakukannya dengan amat baik.
"Keputusan tidak memihak mereka sepanjang beberapa bulan ini tetapi prestasi mereka nampak berbeza dan mereka layak untuk mendapatkan tiga mata hari ini, itu sahaja," katanya.