EPL: Kepulangan Mitrovic pacu kemenangan Fulham, Southampton sah turun liga

Muzaffar Musa
May 13, 2023 23:36 MYT
SOUTHAMPTON 0 FULHAM 2
Southampton tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan apabila kepulangan Aleksandar Mitrovic selepas digantung lapan perlawanan membantu Fulham meraih kemenangan 2-0 di Stadium St Mary lewat malam tadi.
Gol Carlos Vinicius dan pemain gantian, Mitrovic, dalam babak kedua menyaksikan Southampton berdepan rekod terburuk dengan kekalahan ke-24 musim ini dan menduduki tangga terbawah dengan dibezakan lapan mata daripada zon selamat berbaki dua perlawanan.
Vinicius memecahkan kebuntuan pada minit ke-48 sebelum Mitrovic -- yang menerima hukuman jangka panjang gara-gara konfrontasinya dengan pengadil, Chris Kavanagh, sewaktu tewas kepada Manchester United pada 19 Mac lalu -- menghantar The Saints ke Liga Kejuaraan musim depan dengan menanduk masuk golnya yang ke-13 musim ini.
Kekalahan itu turut disulami dengan ejekan dan sorakan "anda tidak layak menyarung jersi ini" oleh penyokong tuan rumah.
#bola sepak #Southampton #Fulham #Liga Perdana Inggeris