Pep Guardiola berkata dia mungkin tidak menandatangani kontrak baru di Manchester City seandainya barisan pemainnya tidak menunjukkan kemahuan dan keinginan mereka.

Bekas ketua jurulatih Barcelona itu menandatangani kesepakatan baru selama dua tahun bersama kelab itu pada bulan lalu, yang akan menyaksikan dia kekal di Stadium Etihad sehingga 2025.

Sejak mengambil alih City pada 2016, Guardiola telah menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selain lima kejuaraan peringkat domestik walaupun masih belum berhasil untuk membawa The Citizens memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), dengan yang paling hampir ketika tewas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir pada 2021.

Bagaimanapun, kehadiran Erling Haaland musim ini seakan-akan memberikan semangat baru buat pasukan bimbingan Guardiola berkenaan dalam meneruskan misi itu, di mana ramai berpendapat pemain kebangsaan Norway itu merupakan cebisan terakhir untuk melengkapkan pasukan City bagi memenangi saingan tertinggi peringkat Eropah berkenaan.

Sebelum itu, spekulasi mula bertebaran mengenai berita Guardiola akan meninggalkan City untuk mencari cabaran baru tetapi pengendali berkenaan berasakan dua kemenangan City selepas saingan Piala Dunia -- menewaskan Liverpool 3-2 dalam Piala EFL dan kemenangan ke atas Leeds dalam saingan liga -- merupakan contoh terbaik mengapa dia memilih untuk kekal bersama pasukan itu.

"Ia mengenai keputusannya," kata Guardiola kepada wartawan.

"Jika kami sudah berasa jenuh sesama sendiri, saya tidak akan menamatkan kontrak itu. Kontrak itu hanya sekeping kertas.

"Jika saya melanjutkannya, ia kerana saya dapat rasakan bahawa kami masih boleh bermain baik, sama seperti dua perlawanan terakhir ini.

"Kami melakukan banyak perkara yang bagus (dalam dua perlawanan itu) dan masih mempunyai keinginan dan kemahuan untuk melakukannya.

"Apabila saya mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya akan letak jawatan atau tidak memperbaharui kontrak," katanya.