BRENTFORD 2 TOTTENHAM HOTSPUR 2

Harry Kane memecahkan rekod perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Boxing day ketika Tottenham terikat 2-2 dengan Brentford di laman lawan malam tadi.

Kapten England itu menjaringkan golnya yang ke-10 pada hari berkenaan apabila menanduk masuk tandukan Ivan Perisic pada minit ke-65 di Stadium Komuniti Gtech.

Kane, yang memperbaharui rekod yang sebelum ini dipegang Robbie Fowler (sembilan gol), turut mengekalkan rekodnya menjaringkan gol dalam tujuh penampilan liga pada Boxing Day.

Pasukan bimbingan Antonio Conte itu ketinggalan 0-2 selepas Vitaly Janelt dan Ivan Toney menjaringkan gol buat Brentford tetapi jaringan daripada Kane dan Pierre-Emile Hojbjerg menyaksikan Spurs mendapatkan satu mata.

Penampilan Kane bersama Spurs dalam perlawanan kali ini hanya berselang 16 hari selepas kempen England tamat di Qatar, di mana mereka disingkirkan Perancis dalam suku akhir.

Bagaimanapun, dia masih mengekalkan ketajamannya dalam saingan peringkat kelab dan jaringan ke atas Brentford itu merupakan yang ke-12 dilakukannya sepanjang EPL musim ini.